Loading...
Wednesday, February 5, 2014

Memey Norman Hakim Mahu enam anak

TERLELAP... mungkin kerana keletihan sehingga terlelap Muhammad Darwisz ketika sesi pemotongan kek.
Sudah lama tidak mendengar khabar mengenai pasangan Norman Hakim dan Memey Suhaiza.
Hajat untuk mengadakan sesi fotografi bersama pasangan ini menjadi kenyataan apabila Norman menjemput Hits untuk menghadiri majlis kenduri doa selamat bagi menyambut hari ulang tahun pertama kelahiran puteranya, Muhammad Darwisz Hakim.
Mengusik Memey yang ditemui ketika itu tentang kebahagiaannya kini, Memey ini kelihatan tenang dan bahagia dengan kehidupan rumah tangga. Memilih punya taggungjawab pada usia muda, dia tidak pernah menyesal takdir jodohnya dengan lelaki berkenaan .
“Alhamdulillah, kehidupan saya selepas berhijrah dan bergelar ibu kini lebih tenang dan bahagia," jelasnya.
Berkongsi kisah perkenalan bersama Norman, jelas Memey, dia mula mengenali lelaki itu ketika menjalani pengambaran drama Pasrah.
“Ketika itu, kami merupakan antara pelakon drama terbitan Skop Productions itu. Tetapi, masa itu sekitar tahun 2007, tidaklah terlalu rapat sangat," jelas Memey.
Tambahnya lagi, setelah lama berkenalan, barulah Norman menyatakan hasratnya untuk berkahwin sehinggalah kini, sudah memasuki tiga tahun usia perkahwinan bahagia mereka.
Ada yang menarik semasa sesi temubual dilakukan. Memey sebenarnya mahukan jumlah anak yang ramai sehingga menjadi enam orang.
“Saya memang mahu ramai anak. Kalau boleh mahu enam orang anak sendiri. Namun, itu semua terpulang kepada rezeki pemberian tuhan," jelasnya.
Ditanya kepada Norman tentang hajat Memey itu, tergelak kecil lelaki berbadan sasa itu.
“Kalau ikutkan umur, saya tahun ini dah mencecah umur 38 tahun. Jadi, bila usia dan meningkat, saya serahkan perkara ini kepada tuhan.
“Saya tidak kisah sebenarnya apatah lagi keluarga Memey memang keluarga besar. Jadi, saya hanya berusaha dan tuhan yang akan menentukan," katanya sambil tertawa.
Gelora cinta
Satu ketika dahulu, kecoh seketika industri hiburan dengan isu pergolakan rumah tangga melibatkan hubungan tiga segi antara Norman Hakim, Abby Abadi dan Memey Suhaiza.
Pergolakan hubungan antara Norman dan Abby ketika itu tidak lagi menjadi kisah yang sepatutnya disembunyikan oleh mana-mana pasangan suami isteri.
Malah, pergaduhan mereka bukan hanya mendapat liputan media, malah sedutan konflik ketika Abby menyerang Norman turut disiarkan menerusi akhbar dan program hiburan, secara terbuka.
Ternyata ketika itu, ketegangan rumah tangga antara Abby dan Norman ibarat retak menanti belah.Pelbagai pendapat diutarakan oleh pemerhati dunia hiburan. Pelbagai kata-kata yang mengguris hati dilemparkan kepada Norman. Lelaki itu hanya mampu diam tanpa diketahui apa perasaannya ketika itu. Ada yang mahu pasangan ini terus berpisah, tidak kurang juga yang mahu pasangan ini berbaik semula demi anak-anak.
“Ketika itu, sebagai lelaki, saya banyak bermain dengan emosi sendiri. Siapa yang tidak marah dilemparkan dengan kata-kata kesat, tetapi jika saya marah, sudah pasti akibatnya lebih teruk," kata Norman.
Ada betulnya tindakan yang diambil oleh Norman, apatah lagi jika dilayan perasaan marah ketika itu, pasti lagi melarat jadinya.
Tambah Norman, dia bersyukur kerana keluarganya menerapkan unsur-unsur kerohanian dan keimanan dalam diri. Faktor itu banyak membantunya menempuh pergolakan itu.
“Kita ada agama dan tuhan. Ketika dihina sebegitu teruk, saya banyak muhasabah diri dan cuba mengawal emosi.
“Memang benar, frekuensi emosi saya ketika itu sedang mencari-cari tindakan yang betul. Apatah lagi ketika saya berdiam diri pun ada yang mengata. Apatah lagi jika saya melenting ketika itu, lagi ramailah yang akan mengeji tindakan saya.
Bermain dengan emosi ketika itu adalah satu perkara yang sangat kritikal tetapi saya sentiasa berdoa untuk diberikan kehidupan yang terbaik selepas itu," jelasnya.
Bagi Norman, ia menganggap isu tersebut sebagai salah satu fasa dalam berumah tangga yang perlu ditempuhi dan diselesaikan dengan baik.
“Saya sentiasa ingat dalam kita berumah tangga ini, ia ibarat sebuah kapal dalam pelayaran dan saya sebagai nakhoda.
“Melalui perkara ini, saya mendapat banyak pengalaman menginsafkan. Saya menganggap ia sebagai satu bentuk rahmat dan pembelajaran tentang kehidupan.
“Perkara ini menjadikan saya lebih dewasa dan matang dalam rumah tangga. Fasa gelora dan gelombang itu, hari ini saya sudah tinggalkan. Syukur kepada Allah, hari ini kami semua menjadi lebih baik dari semalam," ujarnya.
Bagi Norman, tidak ada gunanya jika dia dan bekas isteri bermusuhan selepas berpisah kerana ia sebenarnya hanya akan memburukkan lagi keadaan.
“Bagi saya, walaupun telah berpisah, apa yang penting ialah anak-anak saya dan dia. Sebab itu kami kena korbankan rasa ego, rasa marah dan emosi demi generasi kami yang seterusnya," jelasnya.
Tidak buka internet
Menjadi orang ketiga bukanlah sesuatu yang senang apatah lagi melibatkan hal rumah tangga.
Pelbagai kata cacian dan tohmahan dilemparkan kepada Memey yang menjadi orang ketiga semasa keretakan rumah tangga Norman dan Abby.
Mengakui ia sesuatu yang berat untuk dipikul ketika itu, jelas Memey pula, dia langsung tidak membuka internet atau akhbar yang banyak bercerita tentang kisah cinta tiga segi mereka.

“Saya tahu, pelbagai kata-kata negatif dilemparkan kepada saya. Jika saya baca, ia hanya akan memberi reaksi yang negatif kepada diri sendiri, sedangkan ketika itu, saya perlukan aura-aura positif untuk teruskan hidup," jelasnya.
Tambah Memey, apa yang dilakukan ketika itu hanya berdoa kepada tuhan supaya masalah berakhir dengan baik.
“Alhamdulillah, ketika itu, saya menerima sokongan daripada keluarga dan suami yang memberi impak positif kepada diri saya. Merekalah kekuatan untuk saya menempuhi apa yang berlaku ketika itu," jelasnya.
Tambah Memey lagi, dia bersyukur kerana permohonannya kini dimakbulkan.
“Dulu, saya sentiasa berdoa kepada tuhan supaya hubungan dengan Abby menjadi rapat. Alhamdulillah, hari ini hubungan kami cukup baik dan rapat," jelasnya yang sering bertemu dan berhubungan dengan bekas isteri kepada suaminya itu.
“Selalunya kami bertemu sebab anak-anak dan dia pun ada datang ke rumah kami. Malah, kalau saya sibuk, dia yang akan jaga anak dan kalau dia sibuk, saya yang jaga anak. Saya sangat gembira dan bahagia kerana akhirnya perjalanan hidup kami kelihatan lebih mudah dan bahagia bersama-sama," jelasnya.
Semoga kebahagiaan pasangan ini membawa mereka ke syurga dan kekal dalam pengabdian kepada Yang Maha Esa.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP