Loading...
Wednesday, February 5, 2014

Devil Wears Prada (TDWP) mengadakan konsert mereka selama 60 minit

PERTAMA kali di Kuala Lumpur, lima anggota kumpulan ini mengakui teruja dengan penerimaan peminat di sini.
KL Live di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur telah menyaksikan banyak kumpulan dari Barat seperti Underoath, Placebo, NOFX serta No Use For A Name mengadakan persembahan di pusat hiburan itu sejak hampir 10 tahun lalu.
Kebanyakan mereka mengadakan persembahan selama lebih 90 minit bagi memuaskan hati para peminat, apatah lagi jika itu adalah kunjungan pertama ke negara ini.
Bagaimanapun, berlainan pula dengan kumpulan The Devil Wears Prada (TDWP) yang cuma mengadakan konsert mereka selama 60 minit sewaktu muncul di KL Live pada 1 Februari lalu yang mengenakan tiket berharga RM148 dan RM188 bermula pukul 9 malam.
Durasi itu dianggap sekejap oleh para peminat TDWP tetapi kumpulan yang ditubuhkan di Dayton, Ohio, Amerika Syarikat pada 2005 ini boleh dianggap berbaloi buat mereka.
Kumpulan yang dianggotai oleh Mike Hranica (vokalis), Chris Rubey (gitaris), Jeremy DePoyster (gitaris, vokalis), Andy Trick (bassis) dan Daniel Williams (dram) ini tampil dengan persembahan yang bukan sahaja memuaskan hati para peminat tetapi juga anggota-anggota terbabit.

Mike Hranica yang tampil berseluar jeans yang dipotong pendek hingga ke paras bawah lutut mengakui dia lebih puas untuk persembahan di Kuala Lumpur berbanding tempat lain.
“Sebelum ini, kami telah mengadakan konsert di Jakarta dan Singapura tetapi nampaknya sambutan anda di sini adalah yang paling baik. Kami terharu dengan sokongan anda, terasa seperti kami berada di negara sendiri," katanya pada persembahan malam itu.
Pada konsert TDWP Live In Kuala Lumpur yang dibawakan oleh Tunetalk dan Fat Boys itu kumpulan genre muzik metalcore itu cuma menyampaikan 13 buah lagu.
Biarpun seleksi lagu yang boleh dikatakan sedikit berbanding lima buah album dan sebuah EP yang telah dihasilkan, ternyata persembahan mereka cukup padat terutama daripada segi pemilihan lagu serta gaya persembahan setiap anggota kumpulan itu.
Hranica yang memakai jersi pasukan hoki ais Ohio berwarna hitam tidak menyanyi sendiri, tetapi kebanyakan bait-bait lirik lagu popular TDWP turut dinyanyikan oleh para peminat.
Antara lagu popular yang mereka persembahkan berjudul Gloom, Hey John What’s Your Name Again?, First Sight dan Out Numbered yang mana ia telah menenggelamkan suara Mike apabila para penonton menyanyikan secara beramai-ramai secara spontan.
Sambutan para peminat itu agak mengejutkan TDWP kerana daripada raut wajah mereka seakan-akan kurang percaya para peminat di sini mampu menghafal lirik lagu-lagu tersebut.
Atas faktor itu jugalah yang menyebabkan keterujaan Hranica untuk terus berkobar-kobar menyanyikan lagu-lagu TDWP yang pengalunannya menjurus ke arah gaya jeritan vokal sehingga memercikkan banyak peluh serta menyedut tenaga penyanyi terbabit.
Lantaran keghairahan untuk terus memberikan persembahan yang terbaik itulah secara tidak semena-mena berlaku masalah teknikal. Mikrofon Hranica gagal berfungsi sehingga menyebabkan dia naik radang, lantas membalingnya ke belakang pentas.
Namun, mujurlah DePoyster bingkas mengambil alih peranan itu bagi mengawal keadaan yang mana tidak sampai 10 minit, masalah itu akhirnya dapat diatasi.
Lagu-lagu lain yang dipersembahkan pada malam itu bertajuk Escape, Assistant, Martyrs, War, Born To Lose, 8.18, First Sight, Danger, Dead Throne dan Mammoth berjaya meninggalkan kenangan manis buat para peminat pada kunjungan pertama TDWP tersebut.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP