Loading...
Sunday, February 9, 2014

Os langgar jer cakap doktor


MELAKUKAN pemeriksaan kesihatan dua tahun lalu untuk merawat ketumbuhan dalam tekak tanpa disangka-sangka diagnosis menunjukkan yang dia menghidap penyakit jantung.
Pada awalnya dia bingung kerana sepatutnya dia membuat pembedahan untuk membuang ketumbuhan tersebut tetapi doktor menasihatinya agar merawat dahulu penyakit jantung yang cukup digeruni ramai itu.
"Sekarang semuanya kembali seperti biasa selepas saya membuat rawatan jantung. Saya kena makan ubat pencair darah sampai mati. Nak buat macam mana sudah nasib saya.
"Cuma saya selalu bersyukur sebab masih boleh menggunakan tulang empat kerat ini untuk mencari rezeki. Buatnya terlantar terus di atas katil tentu jadi masalah besar," ujar Os mengenai keadaannya kini.
Dia memberitahu, doktor seringkali menasihatinya agar tidak melakukan kerja berat malah dia tidak boleh tertekan.
"Doktor selalu marah saya dan kata saya sakit. Tapi saya ‘langgar’ cakap doktor dan kata saya sihat.
"Sebab itu peminat masih boleh tengok saya memenuhi undangan pentas sejak setahun lalu. Bukan buat kerja berat pun setakat melawak saja," katanya lagi.
Tidak mahu mengurung diri hanya kerana dia menghidap penyakit berkenaan, Os juga tidak memanjakan diri. Malah dia masih aktif membawa teksi di sekitar ibu negara kerana sayangkan pekerjaannya itu.
Tidak pernah malu menjadi pemandu teksi, pelakon filem Kembar Siang (1989) itu menganggap kerjaya tersebut telah memberikan rezeki lumayan buat dirinya.
"Harap-harap tahun ini saya boleh tukar teksi baru. Yang ada itu pun dah satu dekad, dah lama sangat..." katanya tanpa berselindung sambil membayangkan yang dia tidak akan berhenti daripada menjadi pemandu teksi.

Bukan tempelan

Sebagai antara pelawak tempatan dikenali, Os atau nama sebenarnya Mohd Yusof bin Abdul Hamid mengakui berbangga dengan kegemilangan dunia lawak jenaka yang sedang berkembang pesat ketika ini.
Jika dahulu orang hanya menganggap pelawak hanya tempelan dan ‘nasi tambah’ semata-mata tetapi kini persepsi tersebut telah jauh berubah.
Paling tidak pelawak bukan lagi menjadi penyendal kepada majlis-majlis anugerah atau program-program di kaca televisyen tetapi lebih besar daripada itu.
"Saya masih ingat satu masa dahulu pelawak hanya orang yang mencukupkan korum kepada kebanyakan acara hiburan. Tak ada orang pandang pun pelawak zaman itu.
"Dulu masing-masing berlumba nak jadi pelakon dan penyanyi. Tak ada siapa pun nak jadi pelawak sebab tak ada pasaran yang besar.
"Sekarang semua orang berlumba-lumba nak jadi pelawak dengan adanya banyak pertandingan lawak yang menawarkan hadiah lumayan," ujarnya yang pernah bergelar juara Maharaja Lawak Mega 2011 bergandingan dengan Abon membentuk kumpulan Osbon.
Pertandingan itu membolehkan Os dan Abon memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM350,000.
Bagi Os, dia gembira apabila pihak seperti Astro misalnya mempergiatkan lebih banyak program dan saluran khas buat pelawak tanah air mencurahkan idea.
Perkembangan positif itu amat berbeza jika dibandingkan 30 tahun lalu sewaktu dia mula-mula menapak di dalam industri seni tanah air.
Telah melayari onak duri sebagai anak seni selama tiga dekad, Os mengakui tidak menghadapi tekanan saat berada di atas pentas untuk membuat lawak.
Baginya idea melawak tidak pernah kering dan itu merupakan anugerah terindah yang diterima untuk melancarkan urusan yang harus dilunaskan.
"Saya tak tertekan kalau orang anggap lawak saya tak lagi umphh macam dulu. Ini bukan zaman saya. Ini zaman pelawak-pelawak baru yang ada hari ini.
"Macam mana mereka nak menarik perhatian peminat pun perlu diambil kira. Nak tarik minat orang menonton pun masalah sebenarnya. Kalau nama tak ‘kuat’ orang tak nak datang.
"Saya sudah membuktikan zaman saya (sampai) orang buat filem lagi. Sebut sahaja nama Os semua orang ingat filem-filem komedi yang menjadi kegemaran ramai sampai hari ini.
"Ini zaman mereka (pelawak baru) dan mereka kena buktikan lawak jenaka juga boleh berdiri sama tinggi dengan bidang lakonan dan nyanyian," kata Os lagi.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP