Kehadiran Rahim ternyata membawa tuah kepada Sepahtu apabila kumpulan tersebut dinobatkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM 2013) yang berlangsung di Stadium Malawati, semalam.
Kumpulan itu sebelum ini dianggotai oleh Jep dan Shuib tetapi telah mengundang Rahim atau nama sebenarnya Rahim Mat Ali, 43, sebagai tambahan trio itu dalam MLM 2013.
Menurut Jep atau Mohd. Nadzri Zainal Abidin, 28, penglibatan Rahim dalam kumpulan tersebut boleh dikatakan sebagai projek khas mereka.
"Rahim banyak membantu dan kami sungguh bersyukur serta berbangga kerana dia juga berusaha untuk melayakkan kumpulan kami beraksi di pentas akhir MLM 2013.
"Kemenangan kami sungguh tidak disangka dan wang akan dikongsi secara bersama. Pembabitan Rahim dalam kumpulan ini adalah kerjasama yang sudah dibincang sebelum ini memandangkan Rahim juga mempunyai kumpulan lain iaitu R2.
"Dari awal lagi, beberapa penjelasan telah diberikan kepada adik Rahim iaitu Ridhzuan Mat Ali yang turut menganggotai kumpulan R2," katanya ketika ditemui selepas pertandingan akhir MLM 2013 malam tadi.
Bagaimanapun, Jep berharap, ketiga-tiga mereka akan kekal sebagai sebuah kumpulan selepas program MLM berakhir.
Sementara itu, kumpulan Shiro yang diwakili Shahrol Azizie Azmi, 29, atau Shahrol dan Mohd. Hanaffi Razak atau Ajak, 27, berpuas hati di tempat kedua walaupun tidak menepati ramalan awal sebagai juara.
Kata Shahrol, mereka tidak pernah memikirkan akan kemenangan tetapi apa yang penting adalah lawak yang berkualiti dipersembahkan kepada penonton.
"Kami sudah berpuas hati dengan pencapaian kami yang telah layak ke akhir. Peminat adalah penyokong utama kami dan tanpa mereka kami tidak akan dapat gelaran naib juara.
"Penglibatan dalam MLM 2013 banyak membantu kami dan dianggap sudah lengkap dalam meningkatkan mutu lawak untuk menghiburkan penonton," katanya.
Dalam pada itu, kehadiran pelawak baru yang menggelar diri mereka sebagai Bocey juga memberi persaingan sengit kepada dua kumpulan yang menduduki tempat kedua teratas.
Mewakili kumpulan tersebut, Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah berkata, mereka tidak menyasarkan apa-apa memandangkan kesemua kumpulan yang bertanding adalah hebat dan berbakat.
"Sebagai kumpulan baharu, kami tahu di mana tahap kekuatan dan kedudukan kami tetapi tidak pernah berputus asa untuk berusaha mencapai segala impian kami," katanya yang akan terus bersama dengan dua orang lagi kumpulan Bocey iaitu Abam dan Fad.
0 comments:
Post a Comment