Loading...
Monday, February 3, 2014

Rozita teruja zain berbeza

SETELAH 10 tahun menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal serta membesarkan kedua-dua anak hasil perkahwinan terdahulu, pelakon cantik Rozita Che Wan mengakui agak kekok apabila kembali bergelar isteri semula.
Bertemu dengan pelakon yang popular dengan panggilan Che Ta bersama suami tercinta, Zain Saidin ketika majlis pelancaran Koleksi Valentines Pandora, di Ampang, Selangor baru-baru ini, dia mengakui perasaan itu timbul pada peringkat awal perkahwinannya itu.
"Sudah lama hidup sendiri, sudah tentu saya merasai sedikit kelainan apabila mempunyai suami sehingga sukar tidur malam. Rasanya dalam seminggu juga masa yang diambil untuk membiasakan diri.
"Kini perasaan kekok itu sudah tidak ada lagi dan selesa menjalankan tanggungjawab sebagai isteri. Misalnya, kalau saya ada kelapangan, saya akan memasak untuk suami," ujarnya yang baru sahaja pulang berbulan madu di Eropah.
Bercerita lanjut tentang kehidupannya sekarang ini, Che Ta mengakui sebagai wanita yang baru sahaja kembali mendirikan rumah tangga, perkara paling utama pastinya ingin memiliki cahaya mata.
Menyedari pada usianya sekarang yang sudah mencecah 41 tahun agak berisiko untuk hamil, tetapi pelakon yang popular menerusi drama bersiri Kiah Pekasam itu sudah meminta nasihat daripada pihak doktor.
"Saya teruja mahu hamil bukanlah disebabkan mendapat berita yang rakan artis iaitu Didie Alias kini sudah berbadan dua. Sebaliknya, sebagai seorang isteri pastinya saya mahu memiliki zuriat sendiri bersama Zain.
"Sebenarnya saya ada menghubungi Didie dan meminta kepadanya petua untuk hamil dan dia menyarankan supaya kami mengambil satu produk makanan tambahan yang diamalkannya itu," jelasnya.
Menurut Che Ta, apa yang menariknya apabila bercerita tentang cahaya mata kerana wujudnya perbezaan antara dirinya dengan Zain iaitu berkenaan dengan jantina anak.

CHE TA berharap dikurniakan anak perempuan, manakala Zain pula mahukan anak lelaki.



"Memandangkan saya sudah memiliki dua anak lelaki sebelum ini, pastinya saya inginkan anak perempuan pula, tetapi Zain pula memberitahu yang dia teringin mendapat anak lelaki.
"Namun begitu, kami beranggapan bahawa semuanya terserah kepada rezeki yang akan diperolehi nanti. Kami tidak kisah sama ada dikurniakan anak lelaki atau perempuan, asalkan impian memiliki cahaya mata tercapai," luahnya.
Menceritakan tentang bulan madu mereka pula, Che Ta menyatakan mereka sempat pergi ke beberapa buah lokasi yang menarik di Itali seperti Venice, Milan dan Rome.
"Sebaik sahaja pulang daripada berbulan madu, saya dan Zain terus menjalani penggambaran telemovie Janjikan Aku Bahagia yang akan disiarkan di TV3 menerusi slot Cerekarama.
"Dalam telemovie tersebut kami berlakon sebagai pasangan suami isteri dan ia menceritakan tentang kisah seorang wanita yang mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang lebih muda," jelasnya sambil menegaskan jalan ceritanya tidak berkaitan langsung dengan kisah hidup mereka berdua.
Luar negara
Di sebalik impiannya untuk mendapatkan cahaya mata bersama suami tercinta, Che Ta menyatakan, dia juga sudah mempunyai perancangan terhadap kedua-dua anaknya iaitu Ammar Effendy, 18, dan Aniq Ezzra, 16.
Jelasnya, dia sudah merancang untuk menghantar anak sulungnya, Ammar yang kini sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pelajaran ke luar negara.
"Kalau boleh saya ingin menghantar Ammar sambung belajar di England dalam bidang perbankan dan berusaha untuk mendapatkan biasiswa. Jika gagal mendapatkan biasiswa, saya akan menggunakan duit sendiri untuk membiayai pengajiannya.

SELEPAS mendirikan rumah tangga, Zain dan Che Ta berlakon bersama di dalam telemovie berjudul Janjikan Aku Bahagia.



"Lagipun duit bukanlah menjadi satu masalah yang besar kerana sejak dahulu lagi saya dan bekas suami ada membuat simpanan khas untuk pendidikan anak-anak dan saya juga turut bercadang untuk menghantar Aniq melanjutkan pelajaran di luar negara pada masa akan datang," jelasnya.

Ketika ditanya sama ada dia tidak kisah akan berjauhan dengan anak-anaknya nanti, pelakon itu berkata, sebagai ibu dia tidak kisah kerana inginkan yang terbaik buat mereka untuk jangka masa panjang.
Kerja keras
Setelah menjadi seorang suami, Zain, 30, yang berada di samping isteri tercinta semasa ditemu bual memberitahu bahawa kehidupannya sekarang tidaklah jauh berbeza, kecuali kini dia turut bergelar ayah kepada dua orang anak.
Jelas Zain, tanggungjawabnya kini sudah semakin bertambah dan dia perlu berusaha dengan lebih keras dalam bidang lakonan bagi mencari nafkah untuk menyara isteri dan anak-anak.
"Ada yang berpendapat bahawa selepas kahwin, masa yang ada akan menjadi terbatas, tetapi saya merasakan setelah bergelar suami ini saya mempunyai lebih banyak masa dan sangat gembira dengan kehidupan sekarang.
"Tawaran dalam lakonan masih banyak yang diterima dan kini saya baru sahaja kembali berlakon semula setelah mengambil cuti yang agak panjang kerana persiapan perkahwinan sebelum ini," ujarnya.
Menurutnya, dia juga tidak kisah sekiranya kerap mendapat tawaran berlakon di samping isteri tercinta kerana ia akan lebih memudahkan kedua-duanya untuk meluangkan lebih banyak masa bersama-sama.
Dalam pada itu, Zain menyatakan bahawa dia ingin kembali menyambung hasratnya untuk menyanyi yang tertangguh serta mempunyai perancangan untuk menjalankan perniagaan pada masa akan datang.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP