PADA tahun 2006, pelakon cantik, Nasha Aziz pernah membuat kemunculan sulung di pentas teater apabila dipilih untuk membintangi teater arahan Rosminah Tahir berjudul Lantai T. Pinkie.
Sejak itu, dia tidak pernah lagi terbabit dengan pementasan teater. Setelah lapan tahun berlalu, dia kini akan membuat kemunculan semula dalam teater Di Bawah Lindungan Kaabah.
Memandangkan jarak yang agak panjang antara kedua-dua teater berkenaan, pasti ada sesuatu yang menarik perhatian Nasha untuk membintangi teater tersebut. Adakah kerana teater ini diadpatasi daripada karya ulama dan novelis terkenal, Allahyarham Prof. Dr. Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka itu?
"Bukan tidak pernah mendapat tawaran berlakon teater selepas Lantai T. Pinkie dahulu. Cuma, tiada sebarang tawaran yang mampu membuatkan saya betul-betul 'jatuh cinta' untuk menerimanya sehingga ditawarkan berlakon dalam teater Di Bawah Lindungan Kaabah.
"Meskipun pernah menolak beberapa tawaran yang diberikan saya tetap memberikan sokongan kepada dunia teater dan kalau ada kelapangan saya akan pergi menontonnya," jelas Nasha ketika ditemui semasa majlis pelancaran teater berkenaan di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain Nasha, antara barisan pelakon lain yang turut menjadi pilihan IB dan Rosminah seperti Adi Putra, Elfira Loy, Fizo Omar, Dafi, Liza Abdullah dan Zila Bakarin.
Mengakui sangat rindu untuk berlakon teater setelah tidak beraksi dalam tempoh yang lama, Nasha menyatakan dia selesa bekerja dengan Rosminah yang sudah dianggapnya sebagai seorang kakak.
"Saya tahu berlakon teater memberikan satu cabaran yang cukup berbeza berbanding filem atau drama. Bagaimanapun, suasana bekerja dengan orang-orang teater serta merasai pengalaman berkampung di Istana Budaya dahulu merupakan satu pengalaman yang sangat berharga.
"Memandangkan saya merupakan individu yang tidak gemar membuat beberapa pekerjaan dalam satu masa, jadi saya telah menolak tawaran berlakon yang lain semata-mata mahu terbabit dengan teater ini," ujarnya yang memegang watak sebagai Zainab.
Menceritakan tentang pembabitannya dalam teater berkenaan, antara faktor yang membuatkan dia berminat kerana cukup tertarik dengan cerita yang ditampilkan iaitu dekat dengan kehidupan peribadinya.
Menurut pemilik nama sebenar Noraishah Abdul Aziz itu, biarpun ramai yang melihat dirinya sebagai seorang wanita moden, namun dia mempunyai prinsip yang sangat tegas terutamanya berkaitan cinta.
"Zainab terpaksa mengorbankan cintanya terhadap Hamid disebabkan adat. Saya merasakan kisah yang dihadapi oleh Zainab itu tidak terlalu jauh dengan realiti kehidupan sebenar yang saya lalui sebelum ini.
"Sebenarnya, saya seorang yang cukup konservatif dalam bercinta. Saya tidak akan melakukan sesuatu perkara yang disuruh oleh pasangan sekiranya melanggar prinsip sebagai wanita Islam dan lebih rela mengorbankan cinta saya itu," luahya.
Apabila ditanya tentang kisah cintanya pula, Nasha yang mengambil pendekatan untuk tidak mahu mengulas panjang memberitahu, ketika ini dia sedang menantikan cinta seorang lelaki yang sejati dan ikhlas.
"Kalau ditanya tentang ciri-ciri lelaki yang menjadi pilihan saya, masalah paling utama ialah ciri-ciri tersebut dimiliki oleh lelaki yang sudah bergelar suami orang," ujarnya ringkas.
Perniagaan
Memandangkan wajahnya sekarang ini agak kurang kelihatan sama ada di layar perak atau kaca televisyen, Nasha ditanya tentang aktiviti yang dilakukan sekiranya tidak terbabit dalam sebarang penggambaran drama atau filem.
Menurut Nasha, sekiranya jadual hariannya tidak padat dengan aktiviti seni, dia akan memberi lebih tumpuan terhadap perniagaan yang sedang diusahakannya ketika ini.
"Sebenarnya ketika ini saya ada memiliki tiga perniagaan yang membabitkan korporat, kecantikan serta sebuah perniagaan lagi yang ada berkaitan dengan dunia seni.
"Memang tidak ramai yang mengetahui tentang perniagaan yang diusahakan dan saya pun tidak bercerita sangat mengenainya kerana merasakan perniagaan saya itu tidak memerlukan sebarang publisiti," jelasnya yang terus merahsiakan perniagaan yang diusahakannya itu.
Berkenaan dengan aktiviti lakonannya pula, dia memberitahu ingin memberi sepenuh komitmen terhadap teater Di Bawah Lindungan Kaabah terlebih dahulu dan akan kembali berlakon semula setelah selesai pementasan teater berkenaan.
Kontroversi
Selain Nasha, seorang lagi pelakon yang turut menjadi pilihan untuk berlakon dalam pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah ialah Adi Putra yang membawakan watak sebagai Hamid.
Menurut Adi, dia mengakui akan ada segelintir pihak yang akan mengaitkan pembabitannya dalam teater berbentuk keagamaan itu dengan kontroversi yang pernah dihadapinya sebelum ini.
"Saya lagi suka kalau ada yang mengaitkan kontroversi saya itu kerana ia merupakan satu publisiti untuk pementasan teater ini. Lagipun saya sudah menerima tawaran daripada Rosminah sejak bulan November tahun lalu.
"Tidak kisah apa yang orang hendak kata kerana saya menganggap segala yang berlaku itu ada hikmahnya. Walaupun berhadapan dengan kontroversi, rezeki saya dalam bidang lakonan semakin bertambah," luahnya dengan penuh keyakinan.
Cerita Adi mengenai wataknya sebagai Hamid dalam teater berkenaan, pelakon berasal dari Singapura itu menyatakan ia akan memberi satu cabaran tersendiri apabila melakonkan watak seorang lelaki warak.
Bagaimanapun, dia sesekali tidak akan menonton naskhah novel tersebut yang pernah diadaptasi ke dalam filem sebelum ini kerana tidak mahu terlalu terikut-ikut dan ingin tampil dengan cara lakonan yang tersendiri.
"Bagi saya, membawakan watak sebagai seorang lelaki gengster lebih mudah rasanya berbanding watak lelaki warak. Agak risau juga kalau mendapat kritikan sekiranya gagal membawakan watak Hamid dengan berkesan, tetapi saya berusaha untuk memberikan yang terbaik," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment